Penyatuan Itali dan Itali Liberal (1861–1922) Sejarah_Itali

Garibaldi dan Vittorio Emanuele II.

Pembentukan Kerajaan Itali merupakan hasil usaha nasionalis dan monarkis Itali yang taat setia kepada Wangsa Savoia untuk menubuhkan sebuah negara bersatu yang meliputi seluruh Semenanjung Itali. Dalam konteks revolusi-revolusi liberal yang melanda Eropah sekitar tahun 1848, Itali mengisytiharkan perang terhadap Austria tetapi tidak berjaya. Giuseppe Garibaldi memimpin pergerakan penyatuan Itali republikan di Itali selatan,[15] sementara Kerajaan Piedmont-Sardinia di Itali utara yang diketuai oleh Camillo Benso, conte di Cavour, bercita-cita untuk mengasaskan sebuah negara Itali bersatu di bawah pemerintahannya. Negara beraja itu berjaya mencabar Empayar Austria dalam Perang Kemerdekaan Itali Kedua dengan bantuan Napoleon III, lantas membebaskan Lombardy-Venetia. Kerajaan tersebut menjadikan Turin sebagai ibu negara baru itu; pada tahun 1865, ibu negara berpindah ke Florence.

Pada tahun 1866, Vittorio Emanuele II menyekutukan negaranya dengan Prusia sewaktu Perang Austria-Prusia, maka tercetusnya Perang Kemerdekaan Itali Ketiga yang membolehkan Itali mengilhakkan Venice. Pada tahun 1870, apabila Perancis meninggalkan kedudukannya di Rom kerana kalah teruk dalam Perang Perancis-Prusia, Itali bergegas untuk mengisi kekosongan kuasa dengan mengambil alih Negeri Kepausan daripada kedaulatan Perancis.

Askar-askar infantri Itali ("Arditi") pada tahun 1918. Seramai 650,000 askar Itali gugur dalam medan pertempuran Perang Dunia Pertama.

Akhirnya Itali berjaya disatukan, dan tidak lama kemudian ibu negara Itali berpindah dari Florence ke Rom. Sambil memelihara sistem beraja, pemerintahan Itali mengamalkan sistem parlimen yang dikuasai oleh golongan liberal.

Sementara Itali Utara menikmati pengindustrian dan pemodenan pesat, Itali Selatan dan kawasan-kawasan luar bandar di utara masih terpinggir daripada arus pembangunan, sehingga jutaan orang terpaksa berhijrah ke Segi Tiga Perindustrian yang memuncul ataupun ke luar negara. Statut Alberto Sardinia 1848, meluaskan seluruh Kerajaan Itali pada tahun 1861, dan membenarkan kebebasan asas, tetapi undang-undang pilihan raya melarang golongan tidak berharta dan tidak berpendidikan daripada mengundi. Pada tahun 1913, hak mengundi sejagat diberikan kepada kaum lelaki sahaja. Parti Sosialis Itali semakin kuat menyaingi pertubuhan-pertubuhan liberal dan konservatif tradisional. Gelombang penghijrahan keluar dari Itali memuncak pada tahun 1913, apabila 872,598 orang meninggalkan negara itu.[16]

Mulai dua puluh tahun terakhir abad ke-19, Itali bangkit menjadi sebuah kuasa penjajah dengan memaksa Somalia, Eritrea, Libya dan Dodecanese ke bawah pemerintahannya.[17] Ketika Perang Dunia Pertama, Itali pada mula-mulanya berpendirian berkecuali tetapi pada tahun 1915, ia menandatangani Perjanjian London untuk menyertai Pakatan atas janji menerima Trento, Trieste, Gorizia and Gradisca, Istria dan Dalmatia utara dari Empayar Austria-Hungary serta sebahagian wilayah Empayar Uthmaniyyah. Dalam peperangan itu, lebih 650,000 orang askar Itali gugur,[18] dan ekonomi negara pun tumbang. Mengikut Perjanjian-Perjanjian Damai Saint-Germain, Rapallo and Rom, Itali memperoleh sebahagian besar wilayah yang dijanjikan, termasuk pekan Fiume. Walaupun demikian, kemenangan Itali ini disifatkan sebagai “dicacatkan” oleh puak nasionalis, kerana kebanyakan wilayah Dalmatia diberikan kepada Yugoslavia.